Hanya tiga tahun menebusi antarabangsa.

KIRA-kira 15 tahun lalu, Rohani Borhan menjual nasi lemak di sebuah gerai di Gelugor, Pulau Pinang dengan menumpang kedai menjual air soya dan cincau rakannya..

 

Masa berlalu dan siapa sangka, hari ini Rohani memiliki rangkaian produk masakan dan makanan segera jenama Sharifah, menerusi SHRF Food Industries Sdn Bhd (SHRF Food Industries).

Pengarah Urusan SHRF Food Industries itu berkata, semuanya bermula apabila seorang pelanggan gerainya yang juga pelancong bertanya kepadanya untuk mendapatkan produk makanan Malaysia yang mempunyai rasa tempatan.

Dari situ, Rohani kemudian bertekad menghasilkan produk sedia untuk dimakan dan dimasak sekiranya dia memiliki kilang sendiri.

Idea itu berjaya direalisasikan Rohani pada 2004 apabila membuka kilang di Bukit Beruntung, Rawang dengan nama RHB Jaya Enterprise yang mengeluarkan nasi beriani sedia untuk dimasak dengan jenama Sharifah.

“Untuk meluaskan perniagaan menjadi Sdn Bhd, saya tubuhkan SHRF Food Industries pada 2011 kerana nama RHB Jaya tidak boleh digunakan sebab ia nama bank.

“Namun, RHB Jaya Enterprise masih dikekalkan, cuma ia hanya menguruskan pemasaran produk Sharifah dan dua restoran kami iaitu Sharis Secret,” katanya.

Kini, SHRF Food Industries memiliki dua kilang memproses pes dan produk makanan segera iaitu di Bukit Beruntung dan Batu Caves yang mendapat sijil ISO 22000 serta persijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Syarikat itu mengeluarkan 19 jenis produk pes, produk makanan ‘ready to cook’ dan ‘ready to eat’ yang mendapat pengiktirafan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Antara produk pes yang dihasilkan adalah sambal tumis, nasi beriani, masakan kerutuk, masakan tiga rasa, masak taucu, kuah nasi dagang, mi goreng, nasi goreng kampung dan nasi beriani gam ayam, selain produk baharunya, santan.

Untuk produk sedia dimasak pula adalah nasi beriani gam ayam, nasi beriani tomato, nasi beriani herba dan nasi beriani bukhari, manakala bagi produk sedia dimakan pula termasuklah kuah kari nyonya, kuah rendang, nasi beriani gam ayam, sambal sotong kering serta nasi goreng kampung.

Semua produk masakan itu boleh didapati pada harga dari RM2.95 hingga RM13.


Bermula dari rumah jual kuih

Rohani bukanlah baharu dalam bidang perniagaan ini, sebaliknya wanita ini sudah mula berjinak-jinak berniaga dari rumah secara kecil-kecilan apabila terpaksa berhenti kerja.

“Sebelum berniaga, saya kerja lapan tahun di sebuah bank di Puduraya.

“Namun, saya terpaksa berhenti kerja kerana suami saya bertukar tempat kerja ke Kemaman, Terengganu.

“Suami saya seorang pegawai polis, kerap berpindah tempat kerja.

“Ketika di Kemaman saya mula membuat kuih ‘frozen’ seperti karipap dan popia untuk dijual dengan hanya bermodalkan RM50,” katanya.

Bukan setakat itu sahaja, pada musim perayaan, ibu kepada lima anak itu akan fokus membuat biskut raya pula untuk dijual. Sangat gigih!

“Ketika itu, saya berniaga hanya sekadar suka-suka mengisi masa lapang dan bantu keluarga, di samping menjaga anak-anak yang masih kecil.

“Lagipun, suami tidak mengizinkan saya kerja semula kerana anak-anak masih kecil walaupun saya masih berhasrat kerja dengan institusi perbankan,” katanya.

Dek kerana minatnya yang mendalam dalam bidang masakan dan suka menyajikan makanan kepada orang ramai, Rohani juga pada masa sama turut menerima tempahan katering.

“Saya aktif sebagai Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kemaman. Bermula dari sini saya berjinak-jinak dengan dunia masakan kerana Perkep kerap menjalankan aktiviti.

“Jadi kena banyak masak makanan. Dari sinilah saya menimba ilmu masak dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Setelah berpindah ke Jelebu, Negeri Sembilan, Rohani terus fokus kepada perkhidmatan katering sehinggalah berpindah ke Pulau Pinang.

“Di Pulau Pinang  baru saya mula buka gerai nasi lemak.Kemudian berpindah ke Bukit Beruntung dan di sinilah saya tekad hati untuk buka kilang memproses produk makanan bila sudah buka kilang sendiri,” katanya.

Ketenangan jelas terpancar di wajahnya, menandakan wanita ini tidak lokek untuk berkongsi kisah perjalanan perniagaannya.

Cabaran cari pelanggan

Ketika mula mengeluarkan produk makanan jenama Sharifah, Rohani mengakui agak sukar untuk meyakinkan orang ramai membeli produk keluarannya.

“Masa itu, tidak ada lagi peniaga yang jual nasi beriani masakan segera dalam kotak. Jadi, kami terpaksa keluarkan sampel produk untuk diagihkan kepada pelanggan.

“Kami juga banyak mengikuti pameran anjuran agensi kerajaan seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) dan Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) mencari pelanggan. Dari situlah saya dapat pelanggan dan mengembangkan perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana ada pelanggan lama datang mencari dan membeli produk Sharifah.

Selain itu, Rohani berkata, rasa dan pembungkusan produk menjadi antara tarikan untuk orang ramai membeli produk masakan dan makanan segera jenama Sharifah.

Disebabkan itu, dia amat menitikberatkan dua elemen itu sehingga sanggup membelanjakan jutaan ringgit membeli pembungkusan daripada Jepun.

“Saya beli pembungkusan dalam kuantiti yang banyak untuk dapatkan harga yang murah. Kertas aluminium yang kami gunakan bukan aluminium biasa kerana ia mampu bertahan pada suhu tinggi.

“Setiap produk Sharifah yang dibungkus di dalamnya tahan selama dua tahun tanpa sebarang bahan pengawet dan pewarna,” katanya.

Kekangan modal

Rangkaian produk jenama Sharifah kini boleh didapati di pasar besar dan gedung seperti Mydin, Giant dan Tesco terpilih.

Ketika ini, Sharifah sudah memasuki 53 cawangan Giant, 43 cawangan Tesco dan 15 cawangan Mydin.

Rohani berhasrat memasuki semua rangkaian pasar besar dan gedung tersebut pada masa akan datang, namun menghadapi kekangan modal.

“Dari segi pengeluaran kita mampu hasilkan untuk semua pasar besar ini, namun kami kena ada pusingan modal yang cukup.

“Saya perlukan kira-kira RM1.1 juta lagi untuk menyediakan stok enam bulan bagi setiap pasar raya besar ini. Sekarang, kami sedang usahakan untuk buat pinjaman daripada agensi di bawah kerajaan dalam mengembangkan perniagaan kami,” katanya.

Selain itu, Rohani berkata, SHRF Food Industries bakal menerokai pasaran United Kingdom dan Jepun menjelang 2016.

“SHRF Food Industries kini dalam peringkat perbincangan dengan syarikat dari Jepun untuk memasarkan produk Sharifah di sana. Orang Jepun suka makan nasi goreng kampung. Untuk pasaran United Kingdom pula, kami sedang cari ejen di sana.

“Sehingga kini, produk Sharifah terpilih sudah memasuki pasaran di Singapura dan Brunei menerusi program di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama),” katanya.

Selain itu, SHRF Food Industries juga sedang membangunkan program ‘1 kios, 1 universiti’ dalam usaha menggalakkan dan membangunkan usahawan muda.

“Modalnya RM35,000 dan mereka dapat sebuah kios, produk Sharifah untuk dijual dan peralatan seperti ketuhar gelombang mikro,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *